Tiga penunggang motosikal lakukan aksi ‘superman’ ditahan di Kuching

Ketiga-tiga penunggang terbabit ditahan untuk siasatan.
Advertisement

KUCHING, 17 April: Tiga penunggang motosikal ditahan kerana dikesan melakukan aksi ‘superman’ dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata operasi tersebut yang diketuai ASP Franklin Andy Kemping dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching dilakukan dari jam 11 malam sehingga jam 4.30 awal pagi tadi.

Katanya, hasil operasi telah berjaya mengesan aksi merbahaya ketiga-tiga lelaki berusia 16, 17 dan 20 tahun terbabit.

Advertisement

“Ketiga-tiga penunggang motosikal terbabit melakukan aksi ‘superman’ dengan mengangkat kedua-dua kaki dan menundukkan badan.

“Cara tunggangan ini amat merbahaya diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketiga-tiga penunggang terbabit ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“(Jika disabit) kesalahan boleh didenda RM5,000 ke RM15,000 dan penjara tidak kurang dari lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun,” katanya

Selain itu,sebanyak 17 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan sepanjang operasi tersebut.

“Dua keping saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu, lima keping kerana saman nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, tiga keping saman kerana ubah suai ekzos, tiga keping saman sebab ubahsuai struktur peralatan kenderaan, satu keping saman sebab hon tidak berfungsi dan tiga keping saman sebab tiada cermin sisi,” kata Ahsmon. — DayakDaily

Advertisement