Lima ‘Superman’ ditangkap, 29 motosikal disita dalam ‘Ops Samseng Jalanan’

Motosikal yang disita dalam operasi tersebut.

KUCHING, 23 Mei: Sebanyak 29 buah motosikal disita dan lima lelaki yang melakukan aksi ‘superman’ ditahan dalam ‘Ops Samseng Jalanan’ oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuching semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata pihaknya turut mengeluarkan 127 saman atas pelbagai kesalahan hasil daripada pemeriksaan ke atas 43 buah kenderaan sepanjang operasi tersebut yang diadakan di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakuub, Petra Jaya.

Jelasnya, operasi yang berakhir jam 10 pagi tadi itu bertujuan mencegah dan membanteras samseng jalanan yang memandu atau menunggang secara meluru dan merbahaya.


“Lima suspek ditahan kerana melakukan aksi ‘superman’ iaitu mengangkat kedua-dua kaki ke belakang motosikal secara meniarap atau dengan cara tunggangan yang amat merbahaya diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Manakala sebanyak 43 buah kenderaan diperiksa di mana 29 buah motosikal disita kerana melalukan kesalahan seperti ubahsuai ekzos, struktrur kenderaan, nombor plat yang tidak ikut peraturan.

“Kesemua tangkapan dan motosikal yang disita dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, seramai 39 individu turut dikompaun dalam operasi tersebut kerana gagal mematuhi SOP PKPB.

“Malah ada seorang lelaki dikompaun kerana didapati ingkar arahan kuarantin seperti mana yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. — DayakDaily