Oleh Brad Rantayy
MIRI, 22 Jan: Tiga pemuda disyaki terlibat beberapa kes pecah rumah di sekitar bandaraya Miri ditahan pihak polis pada Jumaat untuk siasatan lanjut.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kesemua suspek berhasil ditahan susulan penangkapan suspek pertama oleh anggota dari unit kereta peronda (MPV) di kawasan perumahan di Taman Tunku sekitar jam 10 pagi.
“Suspek ditahan setelah dilihat memandu secara mencurigakan ketika anggota MPV melakukan rondaan di kawasan tersebut,” ujarnya.
Semasa ditahan dan pemeriksaan dilakukan, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dan cuba menyerang anggota MPV.
Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis turut menemukan beberapa peralatan disyaki digunakan dalam aktiviti pecah rumah termasuk sebilah piasau.
Suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.
Penahanan suspek telah membawa kepada lokasi dua lagi sahabatnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily