Tiga nelayan ditahan kerana disyaki guna bom ikan di Miri

Bot dan nelayan yang ditahan dalam operasi tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

MIRI, 2 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri menahan sebuah bot nelayan tempatan pada jarak lebih kurang 20 batu nautika barat Kuala Niah di perairan Miri, semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, bot nelayan tempatan itu dikesan dalam keadaan yang mencurigakan kerana bergerak dalam keadaan bergelap dan disyaki sedang melakukan aktiviti perikanan yang dilarang.

“Hasil pemeriksaan sekitar jam 8.30 malam itu mendapati suspek menggunakan bubu ikan yang disyaki tidak dilesenkan dan soal siasat mendapati bom ikan turut digunakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Tambahnya, bot tersebut dikendalikan tiga kru lelaki, dua warga tempatan termasuk tekong dan seorang kru warga Indonesia mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.

Kesemua kru, bot dan juga anggaran 900 Kilogram ikan campur telah ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Pulau Melayu, Miri untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah pada lesen.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily