Kemalangan – tiga maut, seorang parah, empat kanak-kanak cedera

Keadaan Honda City yang terlibat kemalangan tersebut.

LAWAS, 17 Dis: Tiga orang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kampung Pangi Jalan Lawas-Trusan, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt. Alexson Naga Chabu berkata, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Supang Raut (wanita), Sarip Saibni Suaiban (lelaki) dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Margaret (wanita).

Beliau memberitahu kemalangan berlaku sekitar jam 6.30 petang.


“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda City yang bergerak dari Trusan menghala ke Bandar Lawas dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

“Akibat pelanggaran tersebut menyebabkan pemandu Perodua Kancil (Supang) maut di tempat kejadian dan penumpang hadapan Honda City (Sarip) yang merupakan warganegara Filipina meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Lawas.

“Seorang lagi mangsa, iaitu penumpang hadapan Kancil disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Lawas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, terdapat empat lagi penumpang Perodua Kancil yang terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki turut mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.

“Manakala pemandu Honda City iaitu seorang lelaki warga Indonesia juga dilaporkan mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan di Hospital Lawas,” katanya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – DayakDaily