LUBOK ANTU, April 18: Tiga lelaki warga Indonesia ditahan selepas didapati memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah dalam Ops Serkap di Kampung Ensawang di sini hari ini.
Ketiga-tiga warga Indonesia yang berusia antara 17 hingga 48 tahun tersebut ditahan sepasukan lapan anggota tentera dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD).
Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin itu diberkas kira-kira pukul 9.30 pagi.
Katanya, sebelum tangkapan itu, pasukan tentera yang sedang melakukan operasi telah mengesan pergerakan sebuah motosikal yang dinaiki ketiga-tiga individu terbabit sedang
mengunakan laluan lorong tikus di kawasan kampung berkenaan.
“Pasukan tentera kemudian bertindak menahan motosikal tersebut.
“Hasil siasatan mendapati ketiga suspek yang berumur 17, 38 dan 48 tahun itu berasal dari Badau, Kalimantan Barat, Indonesia dan masuk ke negeri ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah jurucakap sama, pasukan tentera kemudian merampas sebuah motosikal Honda Verza bernombor pendaftaran Indonesia bersama peralatan peribadi mereka.
“Ketiga-tiga warga Indonesia itu kemudian dibawa ke Balai Polis Lubok Antu untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily