BINTANGOR, 23 Mei: Tiga lelaki cedera selepas Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Ulu Mujuk, Julau lewat malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.08 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) telah mengarahkan anggota respon ke lokasi kejadian yang terletak dianggarkan 130 kilometer dan melalui laluan balak.
“Kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux yang dilaporkan telah terbabas masuk ke gaung sedalam 100 kaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anggota bomba telah melalukan operasi penyelamatan dengan membawa tiga mangsa kemalangan ke tempat yang selamat.
“Dilaporkan tiga mangsa dalam keadaan sedar serta mengalami kecederaan ringan dan telah diberikan rawatan awal oleh EMRS Bomba dari BBP Sarikei.
“Seterusnya kesemua mangsa dibawa ke klinik Julau bagi mendapatkan tindakan rawatan susulan,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 8.30 pagi hari ini setelah keadaan terkawal sepenuhnya. — DayakDaily