Tiga lelaki ditangkap ketika leka pecah rumah di Sg Maong

Ketiga-tiga suspek ditangkap semasa disyaki melakukan jenayah pecah rumah.

KUCHING, 9 Feb: Tiga lelaki ditangkap ketika dipercayai sedang leka pecah masuk sebuah rumah di Jalan Sungai Maong Tengah pada 5 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 39 tahun.

“Pasukan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menangkap tiga lelaki di tempat kejadian.


“Kesemua suspek ditangkap semasa masih berada di dalam rumah tersebut dan semasa diperiksa gagal mengemukakan kad pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya juga, seorang daripada suspek juga didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan satu kes curi.

“Pasukan polis turut merampas barang kes daripada suspek seperti cutter, tukuk, parang panjang, pemain dvd, dan wayar dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah.

“Siasatan awal juga mendapati suspek telah melakukan sekurang-kurangnya dua kes pecah rumah di sekitar Kuching,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama tujuh hari bermula 7 Februari 2022.

“Kes diklasikfikasikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya serta di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 atas memiliki senjata berbahaya.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan penjara tidak melebihi dua tahun atau sebatan,” tegasnya. — DayakDaily