Tiga lagi projek pembinaan jambatan bakal di lancar

Kelihatan Julaihi (tiga dari kiri) ketika lawatan beliau ke tapak lapangan pembinaan Jambatan Batang Lupar.

SEBUYAU, 10 Jan: Tiga projek pembinaan jambatan bakal dilancarkan pada tahun ini, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi.

Katanya, ketiga-tiga jambatan tersebut adalah Jambatan Batang Lupar, Jambatan Saribas dan Jambatan Batang Lupar II.

“Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Saribas merupakan antara sembilan jambatan yang dirancang untuk dibina sebelum ini seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg .


“Manakala jambatan Batang Lupar II yang berhampiran dengan Sri Aman merupakan satu lagi jambatan bagi menghubungkan di laluan Jalan Utama Kedua,” katanya.

Beliau berkata, kontrak bagi pembinaan ketiga-tiga jambatan tersebut telahpun ditawarkan kepada kontraktor berjaya bagi memulakan kerja-kerja berkaitan di tapak lapangan.

Bagaimanapun, katanya, majlis pecah tanah bagi ketiga-tiga projek tersebut sebagai simbolik permulaan projek masih belum dilakukan.

“Untuk projek Jambatan Batang Lupar, majlis pecah tanah akan dilakukan pada 18 Februari ini dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, manakala bagi Jambatan Saribas dan Jambatan Batang Lupar II akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kerja di tapak lapangan kita buat dahulu. Majlisnya akan kita buat kemudian kerana apa yang penting kerja-kerja di tapak lapangan itu dibuat terlebih dahulu sebab kita nak siapkan dan lengkapkan jalan pesisir Sarawak dan seterusnya kita akan bermula dengan Jalan Utama Kedua,” katanya.

Julaihi berkata, pada 2019 dan 2020, tujuh majlis pecah tanah bagi projek pembinaan jambatan jalan persisir telah dilaksanakan.

Antaranya, majlis pecah tanah bagi pembinaan Jambatan Batang Rajang, Jambatan Kemena, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Krian, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Rambungan.

Katanya, kesemua jambatan tersebut apabila siap sepenuhnya kelak akan melengkapkan jaringan sistem Jalan Persisir dan Jalan Utama Kedua Sarawak selain berupaya mengantikan perkhidmatan feri pada ketika ini. — DayakDaily