PRN12 medan pertahankan Sarawak, kata Adun Batu Kitang

Lo bercakap kepada pemberita di Padawan hari ini (Jan 10, 2021).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Jan: Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang menjadi medan untuk mempertahankan Sarawak daripada kuasa luar.

Menurut Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang, seluruh rakyat harus bersatu dan menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).


“PRN bukan sahaja untuk mempertahankan DUN Batu Kitang, tetapi ia adalah untuk mempertahankan Sarawak menerusi GPS,” katanya ketika ditemui pada satu majlis di Padawan dekat sini hari ini.

Tambah beliau yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melakukan yang terbaik buat rakyat Sarawak.

Katanya, Abang Johari telah berjaya mengukuhkan kedudukan Sarawak dan kerajaan persekutuan sangat memerlukan sokongan daripada GPS.

“Kita lihat perkembangan politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia kini, semua pemimpin sibuk memikirkan siapa yang akan menjadi perdana menteri seterusnya.

“Sepatutnya mereka fokus menguruskan pentadbiran negara, memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat. Dengan nilai matawang ringgit semakin jatuh, mereka seharusnya tidak berkelahi merebut jawatan perdana menteri.

“Kita mesti lihat apa kesannya terhadap Sarawak dan Sabah,” ujar beliau.

Justeru kata Lo, dengan kedudukan GPS yang semakin kukuh, Sarawak meneruskan usaha mendapatkan hak-hak yang sepatutnya menjadi milik negeri ini daripada kerajaan persekutuan.

“Jika mereka mahukan sokongan kita (GPS), berikan hak-hak Sarawak.

“Hanya dengan kekuatan yang ada pada GPS, kita boleh menuntut semua hak-hak ini. Dan kita telah pun berjaya memperolehi RM3.9 bilion daripada Petronas hasil usaha Abang Johari,” katanya. — DayakDaily