Tiga kereta turut terbakar dalam kebakaran rumah di Sungai Apong

Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran.

KUCHING, 31 Mei: Tiga buah kereta turut musnah dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Jalan Sungai Apong, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan kebakaran pada jam 3.46 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya terus dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi maklum kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dua tingkat dan kemusnahan dianggarkan 45 peratus.

“Turut terbakar tiga buah kenderaan iaitu Toyota Alphard, Toyota Tank dan Nissan Skyline GTR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdapat tujuh orang penghuni di rumah tersebut, tiga lelaki dan tiga wanita serta seorang kanak-kanak.

“Penghuni berjaya selamatkan diri dengan keluar dari kawasan kebakaran sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

“Setelah memastikan semua dalam keadaan selamat, anggita bersama jentera bertolak balik ke balai,” katanya. ā€” DayakDaily