Perayaan Gawai diraikan meriah esok – Henry Jinep

Dato Henry Harry Jinep

KUCHING, 31 Mei: Perayaan Gawai Dayak yang diraikan esok diyakini meriah daripada tahun sebelumnya.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep, ia berikutan kemudahan Lebuhraya Pan Borneo yang sudah lebih 90 peratus siap.

“Lebuhraya Pan Borneo ini memberi kemudahan pemanduan selesa kepada pengguna jalanraya.


“Oleh itu saya yakin mereka yang bekerja di bandar-bandar besar seperti di Kuching, Miri, Bintulu, Sibu akan balik ke Kampung atau rumah panjang masing-masing,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambah Henry yang juga Adun Tasik Biru, masyarakat Dayak yang tinggal di Semenanjung Malaysia juga boleh balik ke Sarawak untuk meraikan Gawai bersama keluarga di rumah panjang masing-masing.

Katanya, ini berikutan harga tiket penerbangan sepanjang tempoh Gawai ini adalah berpatutan.

“Sehingga kini, saya belum mendengar keluhan orang ramai berhubung harga tiket kapal terbang.

“Ini bermakna harga tiket adalah berpatutan, tidak mahal dan menjadikan sambutan Gawai tahun ini lebih meriah,” ujar Henry.

Bagi masyarakat Bidayuh di Bau pula, beliau yakin sambutan Gawai kali ini adalah sesuatu yang di tunggu-tunggu.

Dengan kemudahan jalan raya yang baik katanya, Bau kini semakin dekat ke Bandaraya Kuching.

“Bagi masyarakat Bidayuh Bau yang bekerja di luar Bau, mereka sudah tentu akan balik meraikan gawai bersama keluarga.

“Ini mewujudkan satu suasana meriah di setiap kampung, lebih meriah daripada tahun sebelumnya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Henry berkata bahawa Bau kini semakin popular sebagai satu destinasi pelancongan.

Menurut beliau, ramai rakyat Indonesia datang ke Bau dan ia dapat dilihat semasa Perayaan Hari Raya yang lepas. — DayakDaily