Tiga kejayaan dalam dua hari untuk PGA Briged Sarawak

Senapang patah dan parang yang dirampas dari seorang lelaki tempatan.

KUCHING, Jun 18: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak telah melakarkan tiga siri kejayaan dalam Ops Libas dan Ops Benteng Covid, di dalam dua hari.

Menurut komandernya SAC Mancha Ata, dalam serbuan pertama Ops Benteng Covid, sepasukan pegawai dan anggota PGA yang bertugas di Pos Raso, Lundu, Sematan sedang melakukan tugas ‘snap check’ pada Jun 17.

“Semasa melakukan tugas, pada jam sekitar 9.30 malam, mereka berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang keluar dari jalan ladang bertempat di sebuah ladang sawit.


“Pemeriksaan lanjut ke atas lelaki tersebut telah menjumpai satu laras senapang patah disyaki buatan sendiri, lima butir amunisi 12 ‘bore’, sebilah parang dan sebuah motosikal,” beliau dedah menerusi satu kenyataan.

Lelaki berkenaan telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1960.

Kesemua peralatan telah dirampas dan suspek telah diserahkan kepada pihak polis Lundu untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Jelas Mancha, jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

SAC Mancha Ata

Dalam kejayaan kedua, Mancha dedahkan, pada pukul 7 pagi hari ini, pasukan PGA yang bertugas di pos Biawak, Lundu telah membuat pemeriksaan terhadap dua lelaki warga Indonesia yang berkelakuan curiga.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki tersebut tiada memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan disyaki cuma menyusup keluar ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Suspek ditahan dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada pihak polis Lundu untuk tindakan selanjutnya.”

Kelihatan dua warga Indonesia yang ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Manakala di Sibu pula, menurut Mancha, pasukan PGA telah membuat intipan bertempat di sebuah jeti lama Durin pada 9.15 pagi tadi.

“Intipan dibuat kerana lokasi tersebut disyaki digunakan untuk kegiatan transit barang-barang seledup sebelum diedarkan ke kawasan Kapit dan sekitarnya menggunakan laluan sungai.

“Serbuan tersebut telah berjaya menemui sejumlah 1,250 karton rokok kretek pelbagai jenama dengan anggaran nilai termasuk cukai sebanyak RM158,424,” tambah beliau.

Tiada sebarang tangkapan dibuat.

Rokok pelbagai jenama yang dirampas dalam serbuan di Sibu.

Rampasan telah dibuat ke atas rokok tersebut dibawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada pihak polis Sibu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Mancha menyatakan operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh unit risik PGA Sarawak dalam usaha untuk membanteras aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok. — DayakDaily