Tiga kampung di Simunjan terima bantuan bekalan air mineral

Bekalan air mineral dihantar ke tiga kampung terbabit.

Dikarang Chris Bishop

SIMUNJAN, 30 Mac: Tiga buah kampung di Simunjan yang mengalami krisis air setelah dilanda kemarau dalam tempoh sebulan ini telah menerima bekalan air.

Bantuan bekalan berupa botol air mineral telah disampaikan Pejabat Kebajikan Masyarakat Samarahan kepada penduduk di Kampung Sungai Alit, Tanjung Sabang dan Tanjung Tanglong hari ini.

Menurut Ketua Kampung Tanjung Sabang, Tuairumah Tawi Seli, surat permohonan bantuan bekalan air telah dihantar ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Samarahan pada Rabu lepas (27 Mac) bagi mengurangkan beban penduduk akibat krisis air di rumah panjang beliau.

“Penghantaran bantuan air sebanyak 132 kotak berupa botol air mineral 1.5 liter telah disalurkan kepada kampung kami hari ini,” kata Tawi.


Rumah panjang terbabit dihuni 66 keluarga.

Sebanyak 350 kotak berupa botol air mineral 1.5 liter telah dihantar ke kampung terbabit.

Turut menghadapi krisis yang sama adalah Kampung Sungai Alit, dimana sejumlah 134 kotak air mineral telah dihantar untuk menampung keperluan 22 keluarga.

Kampung Tanjung Tanglong yang dihuni sembilan buah keluarga turut menerima bantuan 84 kotak air mineral.

Perjalanan menghantar bantuan ke Kampung Tanjung Sabang dan Tanjung Tanglong menggunakan perahu mengambil masa hampir setengah jam dari Jeti Simunjan. Bantuan ke Kampung Sungai Alit dihantar menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Ketiga-tiga kampung terbabit, menurut Tawi, bergantung sepenuhnya daripada hujan untuk memperolehi sumber air. — DayakDaily