Tiga individu nyaris maut terlibat dalam nahas dua kereta

Keadaan kemalangan babitkan dua kereta.

Oleh Dean Adam

BINTANGOR, Dis 29: Tiga individu berdepan detik mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan di Jalan Kanowit-Julau di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.05 petang melibatkan masing-masing sebuah kereta Perodua Kelisa dan Proton Saga.


Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.09 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati dua individu iaitu seorang wanita dan kanak-kanak lelaki berjaya mengeluarkan diri dari kereta Perodua Kelisa.

Pasukan bomba mengeluarkan pemandu yang masih berada dalam kereta.

“Manakala, seorang lelaki yang memandu Proton Saga masih berada di dalam kereta sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, petugas perubatan yang turut berada di lokasi kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera.

Katanya, pasukan bomba kemudian melakukan operasi membersihkan sisa-sisa kemalangan di situ untuk keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 2.47 petang,” katanya. -DayakDaily