KUCHING, Jun 20: Berpantang maut sebelum ajal.
Begitulah yang berlaku ke atas dua lelaki dan seorang wanita yang nyaris maut apabila mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Rampangi di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Awang Affendi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.58 petang.
Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati nahas tersebut membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan Perodua Axia.
“Kedua-dua mangsa lelaki dan perempuan dari Perodua Axia berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Begitu juga dengan seorang lelaki yang memandu kereta Proton Wira telah dikeluarkan oleh orang awam,” katanya di sini hari ini.
Awang Affendi menambah, pemandu kereta Proton Wira yang mengalami kecederaan di bahagian muka, hidung dan bengkak di tangan kemudian telah mendapat rawatan awal dari pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS).
Katanya, pasukan bomba kemudian bertindak membuat pembersihan kesan tumpahan minyak di atas jalan raya sebelum berangkat balik ke balai.
“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily