Sg Sadong yang dijadikan sumber air mentah untuk Serian tercemar racun, kata DAP

Edward Andrew Luwak

SERIAN, Jun 20: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Serian, Edward Andrew Luwak mendakwa sumber air mentah yang diambil dari Sungai Sadong yang dirawat di Loji Rawatan Air Slabi dekat sini untuk dibekalkan kepada penduduk di bahagian ini, adalah tercemar dengan bahan kimia serta racun.

Beliau menjelaskan, pencemaran air tersebut adalah berpunca daripada pembukaan ladang kelapa sawit yang begitu luas di kawasan tadahan Sungai Sadong.

“Sudah berpuluh atau mungkin beratus tan racun serangga, rumpai, baja kimia dan racun lain telah digunakan di ladang kelapa sawit ini, yang meresap ke dalam tanah dan apabila hujan, ia kemudian dibawa ke Sungai Sadong.


“Disebabkan ini, ramai orang Serian mengalami penyakit seperti masalah buah pinggang, pernafasan serta usus dan trend penyakit ini meningkat setiap tahun.

“Malah, peningkatan penyakit kanser di kalangan orang Serian juga semakin membimbangkan,” katanya.

Menurut Edward, kawasan Serian selama ini adalah dibekalkan dengan air terawat dari Loji Rawatan Air Slabi yang terletak tidak jauh dari pekan Serian, dengan sumber air mentah diambil dari Sungai Sadong sejak tahun 1970-an lagi.

Namun demikian, katanya sumber air dari Sungai Sadong kini sudah tidak selamat digunakan lagi kerana selain tercemar dengan bahan kimia dan racun dari ladang kelapa sawit, ia turut dicemari dengan sisa-sisa penduduk kampung, yang 90 peratus kampung adalah terletak di kawasan tadahan sungai berkenaan.

“Memang loji rawatan air dapat menghasilkan air yang bersih dan jernih setelah dirawat tetapi adalah meragukan untuk loji rawatan mampu membersihkan air dari bahan kimia dan racun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya menganalisa tahap kebersihan sumber air dari Sungai Sadong bagi memastikan ia benar-benar selamat untuk digunakan.

“Kerajaan harus memberi jaminan yang kukuh bahawa sumber air dari Sungai Sadong adalah selamat dan sekiranya air sungai ini dicemari dengan bahan kimia dan racun, kerajaan mesti mencari penyelesaian segera,” katanya. — DayakDaily