SRI AMAN, Jun 20: Seorang wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar ke kedai dengan menunggang motosikal cemas apabila dia terjatuh ke dalam parit di Jalan Simpang Taman Harmoni di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, mangsa, Sofia Abit, 30-an, dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, Chimiam Duyu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.13 pagi.
Ujarnya, enam anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan tindakan susulan.
“Apabila tiba, anggota bomba mendapati mangsa masih berada di dalam parit dan dalam keadaan cedera.
“Pasukan bomba kemudian membantu membawa mangsa keluar dari parit sebelum memberi rawatan kepada wanita tersebut,” katanya di sini hari ini.
Chimiam menambah, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 11.27 pagi,” katanya lagi. — DayakDaily