KUCHING,6 Jun: Tiga gadis, termasuk dua berusia 18 tahun, ditangkap bersama dua lelaki disyaki tokan dadah gara-gara ketagih dadah.
Difahamkan mereka ditangkap dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Padawan di sebuah rumah di Lorong Bayan, Jalan Kong Phin, di sini pada 4 Jun (Jumaat) lepas.
Dalam serbuan sekitar jam 1 petang itu, pasukan operasi turut merampas sejumlah dadah jenis serbuk ketamin dan pil ecstacy.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong dalam kenyataan akhbarnya mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek lelaki berusia 22 dan 31 tahun mengaku dadah yang dirampas adalah milik mereka berdua.
“Manakala tiga lagi suspek (gadis) yang masing-masing berusia 18 dan 22 tahun mengaku datang ke rumah tersebut untuk melepak dan hisap dadah,” katanya.
Kesemua suspek kini direman sehingga 9 Jun untuk siasatan lanjut.
“Usaha mendapatkan maklumat lanjut dari suspek dan mengesan dari mana bekalan dadah sedang diusahakan,” katanya. — DayakDaily