KUCHING, 18 Jan: Seramai tiga lelaki tempatan dikompaun kerana melanggar prosedur operasi ‘standard’ (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat urut di Bandar Baru Batu Kawa (MJC) lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata sepasukan anggota polis melakukan rondaan Op Covid-19 apabila mendapati premis tersebut masih beroperasi iaitu sekitar jam 11.44 malam.
Beliau memberitahu, pasukan operasi kemudian pergi ke premis tersebut dan mendapati pintu hadapannya berkunci, namun masih kedengaran muzik dari dalam premis.
“Selepas mengetuk pintu tersebut beberapa kali, akhirnya ia dibuka oleh seorang wanita. Pasukan serbuan kemudian terus melakukan pemeriksaan ke dalam premis dan mendapati terdapat tiga lelaki berada di ruang tamu premis.
“Hasil siasatan mendapati wanita tadi merupakan warga asing yang bekerja di premis tersebut dan ketiga-tiga lelaki tempatan berusia 45 hingga 56 tahun merupakan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dedahnya, ketiga-tiga lelaki terbabit dikompaun kerana gagal mematuhi SOP iaitu berada di dalam premis yang beroperasi melebihi masa ditetapkan iaitu pukul 10 malam.
“Selain itu, mereka juga didapati tidak mengamalkan penjarakan sosial.
“Manakala wanita warga asing yang berusia 46 tahun ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Selain itu, didapati premis terbabit juga menjalankan perniagaan bilik karaoke tanpa lesen.
“Justeru, pelbagai peralatan elektrik antaranya seperti televisyen, alat pembesar suara, mikrofon, amplifier dan monitor dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily