KANOWIT, 12 Sept: Tiga individu cedera selepas kenderaan jenis pikap Isuzu Dmax dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Rascom Jagau Kanowit, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit menerima laporan berhubung kemalangan kendiri tersebut pada jam 2.40 petang.
Katanya, anggota dari BBP Kanowit kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah Isuzu Dmax terlimat kemalangan kendiri iaitu terbabas ke bahu jalan lalu masuk ke dalam semak samun.
“Bagaimanapun mangsa seramai tiga orang telah berjaya keluar dengan bantuan orang awam yang melalui jalan tersebut,” katanya.
Tambahnya, kesemua mangsa selamat dan hanya mengalami cedera ringan.
“Kesemua mangsa dibawa keluar ke jalan utama menggunakan kenderaan polis untuk diserahkan kepada pihak ambulans dan seterusnya dihantar ke Hospital Kanowit,” katanya.
Pasukan bomba kemudian bertolak balik setelah membuat pemantauan dan memastikan keadaan benar-benar selamat. — DayakDaily