KUCHING, 18 Feb: Tiga orang mangsa dilaporkan cedera dalam kemalangan kendiri berdekatan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Batu 12 Jalan Kuching-Siburan, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.17 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah Perodua Myvi yang terjatuh ke dalam longkang besar dari atas jambatan menghala ke serian dan terdapat tiga orang mangsa terlibat.
“Dua orang mangsa iaitu seorang wanita berumur dalam lingkungan 25 tahun dalam keadaan sedar mengalami kecederaan di bahagian kepala dan seorang lelaki dalam keadaan sedar mengalami luka di bahagian bahu sebelah kiri telah dibawa keluar ke atas jalan raya utama oleh orang awam.
“Manakala seorang lagi mangsa (pemandu, lelaki) mash berada di dalam longkang dan tidak dapat naik keatas akibat mengalami kepatahan tangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari longkang menggunakan pengusung.
Seterusnya kesemua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan keadaan selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai. — DayakDaily