Dua ditangkap lakukan khianat kenderaan

PDRM logo

KUCHING, 18 Feb: Dua lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat satu kes khianat kenderaan yang dilaporkan berlaku di Taman Pangol Jaya, Jalan Lapangan Terbang Baru, baru baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 33 dan 42 tahun itu ditangkap di Jalan Stapok Utama, Batu Kawa semalam.

Katanya, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching diketuai Inspektor Muzaffar Shah Ibrahim.


“Hasil semakan rekod kesalahan lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod tangkapan lampau melibatkan tiga kes jenayah dan tiga kes dadah.

“Manakala ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily