KUCHING, Nov 14: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben percaya pengundi di kawasannya akan memberi kemenangan kepada penyandang kerusi P.199 Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem pada hari mengundi 19 November akan datang.
Kedup, salah satu daripada DUN di dalam P.199 ada 19,128 pengundi. Dua DUN lagi yang berada di bawah P.199 adalah Bukit Semuja, ada seramai 25,000 pengundi dan Tebedu (20,000 pengundi).
“Saya boleh katakan di Kedup, kita boleh menang100 peratus. Walaubagaimanapun kita tidak tahu jumlah majoriti,” kata Martin ketika ditanya berkenaan dengan maklum balas untuk calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi P.199 Serian.
Kata beliau, penilaian ini berdasarkan semangat penyokong sekarang di kawasannya.
“Kita buat yang terbaik dan kita telah berkempen di sini markas (pusat operasi). Setakat ini baik. Ini adalah minggu kedua berkempen dan kami akan menambahbaik cara kami berkempen dari kampung ke kampung dan mematuhi jadual yang ditetapkan bilik operasi supaya pasukan dapat bergerak secara sistematik,” kata beliau.
Martin menambah, jentera pilihan raya Kedup sudah diaktifkan semenjak Pilihanraya Negeri yang lepas, yang diadakan pada Disember tahun lalu.
Berkenaan dengan isu yang berkaitan, Martin yang juga Timbalan Menteri Pertanian Moden dan Pembangunan Wilayah memberitahu semua wakil rakyat dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah diarahkan presiden parti Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkempen untuk semua calon GPS agar mereka mencapai kemenangan pada hari mengundi 19 November ini.
“Walaupun ketiga-tiga kami (ADUN) di bawah P.199 Serian dari PBB, tetapi itu tidak penting, yang penting adalah kemenangan GPS.
“Itu adalah arahan presiden kami yang juga pengerusi GPS, kami mesti menang (di semua 31 kerusi yang dipertandingkan). Kami mesti menyumbang 31 kerusi parlimen (itu sasaran GPS). Oleh itu kami amat yakin P.199 Serian salah satu daripadanya,” jelas beliau.
ADUN Bukit Semuja, John Ilus juga memberitahu bahawa beliau telah mengaktifkan jentera untuk memberi sokongan agar Riot memperolehi kemenangan.
“Kami juga telah menggerakkan pasukan untuk mendekati golongan Undi18,” kata John.
ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada juga memberitahu bahawa jentera pilihan raya DUN beliau telah diaktifkan untuk membantu kempen tersebut.
“Semasa PRU15 ini, kami menjadi satu pasukan dan tidak mengira parti politik yang kami wakili,” kata Dr Sindang.
Sementara itu, Riot yang juga timbalan presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berkata, beliau akan terus gigih berusaha sehingga undi yang terakhir dikira walaupun jentera kempennya telah menjalankan tugas dengan lancar.
“Walaupun kami telah bekerja keras dan telah bekerja rapat dengan komponen parti termasuk tiga ADUN yang telah membantu semasa berkempen, namun kami akan terus berusaha terutama untuk mendekati Undi 18,” tegas Riot.
Pada PRU15 ini, Riot akan ditentang bekas Timbalan Kastam Sabah (bersara) Dr Alim Impira sebagai calon Bebas, Elsiy Tingang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), dan Learry Jabol mewakili Democratic Action Party (DAP).
Pada PRU14, Riot telah memenangi kerusi P.199 Serian yang ditentang melalui tiga penjuru dan memperolehi 9,905 majoriti undi. — DayakDaily