BINTULU, Jan 26: Hanya kerana mahu cepat kaya, sepasang suami isteri warga Indonesia sanggup mengedar dadah demi meraih keuntungan yang mudah dari hasil jualan barangan terlarang tersebut.
Kedua-dua suspek berusia 45 dan 29 tahun itu dikesan aktif mengedar dadah di sekitar bandar lama Bintulu dan di Sungai Nyigu di sini sejak empat bulan lalu.
Kegiatan jenayah mereka kemudian terbongkar susulan serbuan dan tangkapan ke atas kedua-dua suspek di sebuah rumah di Jalan Sungai Nyigu, Hill Top Villa di sini hari ini.
Serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 1.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt. Sahar Abdul Latif berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak susulan maklumat awam dan risikan yang dilakukan sebelum itu.
Katanya, hasil serbuan polis berjaya menemui beberapa paket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 53 gram.
“Nilai dadah yang dirampas itu dianggarkan berjumlah RM7,200. Polis juga merampas sebuah kereta Kia Spectra yang dipercayai digunakan suspek menjalankan kegiatan haram tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sahar menambah, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri terbabit tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Katanya, hasil ujian air kencing kedua-dua suspek juga negatif dadah.
“Buat masa ini, suspek terbabit ditahan reman di Balai Polis Bintulu.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. — DayakDaily