Polis tahan seorang lelaki dan wanita kerana edar dadah

Kedua-dua suspek yang ditahan reman.

SERIAN, Jan 26: Cubaan seorang lelaki dan wanita yang disyaki mengedar dadah di pasar malam sini berjaya ditumpaskan apabila mereka ditahan di kawasan berkenaan, malam semalam.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 33 dan 21 tahun itu ditangkap oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian pada pukul 9.15 malam.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek telah menemui dua paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 1.26 gram dalam beg yang disandangnya.


Katanya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah syabu seberat 0.40 gram di dalam kotak rokok yang disembunyikan dalam poket seluar kiri belakang yang dipakainya.

“Polis kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kereta yang digunakan suspek sebelum menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 10.04 gram di dalam kotak rokok yang disembunyikan dalam dashboard kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis metaphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (3) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952,” katanya lagi. — DayakDaily