Tidak serik, wanita ‘ejen’ judi dalam talian ditangkap lagi

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.
Advertisement

BAU, 26 Jan: Seorang wanita tidak serik apabila ditangkap sekali lagi kerana disyaki terlibat kegiatan perjudian dalam talian.

Difahamkan suspek berusia 37 tahun itu pernah ditangkap sebelum ini kerana disyaki bekerja sebagai ejen tambah nilai judi dalam talian.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon, suspek ditangkap sekali lagi dalam satu serbuan ke atas sebuah kedai di Jalan Datuk Salau, Pekan Bau sekitar jam 4.30 petang semalam.

Advertisement

“Polis telah membuat serbuan dan rampasan, di mana seorang wanita ditangkap kerana disyaki sedang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan tambah nilai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan komputer, telefon bimbit dan wang tunai.

“Suspek kemudian ditangkap dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau beserta rampsan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily

Advertisement