Nanta: Bekalan dan harga bawang stabil

Nanta(dua dari kanan) pada lawatan dan pemeriksaan di sebuah premis pengimport bawang di Klang

KUCHING, 26 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bahawa
bekalan dan harga bawang di pasaran kini telah kembali stabil.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bekalan bawang untuk keperluan pengguna di Malaysia dijangka sehingga bulan Ogos 2021.

“Ini adalah kerana negara pengimport utama bagi bekalan bawang iaitu India telah pulih daripada masalah banjir dan telah mula mengeksport bekalan bawang ke luar untuk memenuhi permintaan khususnya di Malaysia,” katanya.


Pada semalam, Nanta juga telah mengadakan satu lawatan kerja dan pemeriksaan perniagaan bawang di sebuah premis yang berperanan sebagai pengimport dan pemborong bertempat di Klang, Selangor.

Lawatan bertujuan untuk memastikan keberadaan bekalan bawang mencukupi untuk menampung permintaan pengguna dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dan Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2021 yang bakal tiba.

“Kementerian tidak mengambil mudah berhubung isu tersebut dan sentiasa memastikan keberadaan bekalan barang keperluan harian seperti bawang stabil dan memenuhi permintaan pengguna dalam apa jua keadaan.

“Hasil daripada lawatan tersebut, pihak kami dimaklumkan bekalan bawang kini berada dalam keadaan yang stabil dan cukup untuk keperluan pengguna di Malaysia,” katanya.

Turut serta pada lawatan itu, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP Dr Alauddin Sidal dan Pengarah Penguat Kuasa Azman Adam.

Menerusi kenyataan itu, Nanta berkata, jumlah import bekalan bawang daripada negara luar dari Januari sehingga Disember 2020 adalah
489,297 m/t.

Sebelum ini katanya, Malaysia sangat terkesan dengan kemasukan bawang dari negara pengimport kerana terdapat arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang.

“Langkah ini bertujuan untuk menampung keperluan domestik di negara mereka ekoran bencana banjir yang berlaku sejak bulan Julai 2020,” ujar beliau.

Bekalan bawang di Malaysia diimport dari 24 buah negara di mana 5 negara merupakan pengeksport terbesar iaitu India (31%), Pakistan
(24%), China (22%), Belanda (10%), Thailand (6%), New Zealand (3%) dan lain-lain (4%).

Daripada jumlah ini, India merekodkan jumlah pengeksport bawang terbesar iaitu sebanyak 152,519 m/t. – DayakDaily