Tidak serik, bot tunda 2 kali ditahan Maritim Bintulu kerana tamat tempoh lesen

Bot tunda yang ditahan untuk siasatan lanjut.

BINTULU, 22 Ogos: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bintulu menahan sebuah bot tunda selepas didapati tamat tempoh lesen perkapalan di 1.9 batu nautika muara Sungai Kemena, sekitar jam 1.20 petang kelmarin.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata bot itu kelihatan mencurigakan lalu ditahan bagi tujuan pemeriksaan dan geledah.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati ia disyaki beroperasi menggunakan lesen perkapalan yang telah tamat tempoh.


“Semakan rekod mendapati bot tunda ini pernah ditahan dan dikompaun kerana melakukan kesalahan yang sama pada tahun 2020.

“Ini merupakan kesalahan berulang dilakukan oleh bot yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiga kru termasuk nakhoda, terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia, berusia dalam lingkungan 37 hingga 53 tahun ditahan.

Bot tunda serta semua kru dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi menggunakan lesen perkapalan yang telah tamat tempoh.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan tidak melakukan sebarang aktiviti riadah di pantai memandangkan keadaan laut yang masih bergelora kini.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Manakala kecemasan di laut boleh terus menghubungi ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya. — DayakDaily