Tidak sempat menikmati hasil jualan curi kayu belian, 3 suspek dicekup polis

Ketiga-tiga suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut.

MIRI, 18 Mei: Belum sempat menjual kayu curi, tiga lelaki warga tempatan dicekup polis untuk tindakan lanjut pada petang Isnin.

Difahamkan, suspek telah cuba menjual 38 batang kayu belian berbagai saiz kepada seorang pembeli pada pagi Isnin melalui Facebook.

Ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada jam 6.15 petang di tepi sebuah rumah tidak bernombor, di belakang Tamu Piasau Utara susulan laporan dibuat pembeli kayu tersebut.


Kesemua suspek berusia 30, 38 dan 39 tahun itu kini ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Turut dirampas semasa tangkapan ialah tiga unit alat pemotong kayu, satu unit alat pita pengukur dan sebiah telefon bimbit.

Kesemua barangan yang dirampas telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan lanjut , mendapati kesemua kayu yang dirampas merupakan kayu belian yang dilaporkan hilang disyaki dicuri di Jambatan Lama Pulau Melayu.

Kes disiasat memgikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily