Oleh Brad Rantayy
MIRI, 5 Julai: Tindakan seorang lelaki melastik batu ke arah anggota polis yang datang ke rumahnya pada petang Sabtu (4 Julai) di Kampung Kejapil berhubung kes keganasan rumahtangga membawa parah, apabila dia ditahan selepas mencederakan dua anggota polis.
Menurut ketua polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah, dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.10 petang, suspek, berusia 47 tahun itu telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang datang ke rumahnya.
“Tidak hanya mengeluarkan kata-kata kesat ke arah anggota polis, suspek juga menunjukkan parang ke arah mereka sebelum melastik batu ke arah anggota saya,” ujar Lim ketika dihubungi.
Beberapa anggota polis telah cuba memujuk suspek supaya membuka pintu rumahnya untuk berbincang namun gagal, memaksa polis menyerbu masuk dan menahan suspek yang pada waktu itu sangat agresif.
Turut dirampas dalam kejadian itu ialah empat bilah parang, satu lastik kayu, dua biji batu dan dua unit telefon bimbit.
Kes disiasat dibawah Seksyen 353 kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam iaitu pasukan polis semasa mereka menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan (sengaja mencederakan dengan senjata). — DayakDaily