Covid-19: Kes positif baharu kembali satu angka dengan 5 kes hari ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 5 Julai: Kes positif baharu Covid-19 kembali mencatatkan satu angka setelah hari ini sebanyak lima kes baharu dicatatkan setakat jam 12 tengahari.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga daripadanya membabitkan kes import manakala dua lagi adalah kes tempatan.

Beliau berkata kesemua kes positif hari ini melibatkan empat warganegara dan satu bukan warganegara.


“Terdapat empat kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan dibenarkan keluar dari wad sebanyak 8,465 kes atau 97.71 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga jam 12 tengah, 4 Julai 2020 terdapat lima kes baharu yang dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,663 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 77 kes. Mereka diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, setakat ini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 121 kes.-DayakDaily