Oleh DayakDaily Team
KUCHING, 30 Okt: Tidak masuk akal dan jangan ikut, tegas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang Senator Abun Sui Anyit.
Abun mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Sarawak membantu membangunkan negeri lain.
“Bagi saya saranan Dr Mahathir ini tidak masuk akal kerana bukan tugas kerajaan negeri untuk membantu negeri yang lain. Namun, melabur di negeri lain mungkin boleh dipertimbangkan.
“Apa yang disarankan Dr Mahathir ini tidak boleh diikut bulat-bulat oleh Sarawak,” kata Abun dalam satu kenyataan semalam.
Dr Mahathir terdahulu berkata Sarawak sudah menjana banyak wang dengan belanjawannya mencecah RM11 bilion iaitu jumlah yang sangat tinggi, berbanding Kedah yang bajetnya hanya RM700 juta.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam sebuah negara Persekutuan seperti Malaysia, negeri yang lebih kaya mesti berkongsi kekayaan dengan yang lebih miskin.
Menurut Abun, saranan Dr Mahathir itu tidak munasabah dan banyak lagi kawasan di Sarawak terutamanya pedalaman perlu dimajukan.
“Fokus kita bukan membantu Kedah, tetapi memajukan kawasan di Sarawak yang masih mundur,” ujar Abun. — DayakDaily