Tidak dapat kawal emosi, punca anggota Bomba diserang di Lawas

Datu Khirudin Drahman

LAWAS, 20 Jun: Rumah pusaka terbakar, anggota Bomba pula yang diserang dalam satu kebakaran di Kampung Belipat, Jalan Punang, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata kejadian berlaku sekitar jam 3.18 petang semalam ketika sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas hadir untuk operasi memadam kebakaran.

Jelasnya, insiden berpunca daripada pihak pemilik rumah yang gagal mengawal emosi apabila rumah pusaka mereka musnah terbakar.


“Walau bagaimanapun, pegawai Bomba yang terlibat telah bertindak professional semasa menjalankan tugas beliau dan bertindak balas melalui saluran yang betul iaitu dengan membuat laporan polis pada jam 9.14 malam tadi.

“Namun begitu, sekitar jam 12.45 tengah malam tadi, pegawai Bomba tersebut atas budi bicara beliau telah menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini setelah menerima permohonan maaf daripada pelaku yang menyesal dan menyedari ke atas kesalahan yang telah dilakukan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Khirudin selain itu momohon orang ramai menghormati dan memahami tugas dan tanggungjawab Bomba dalam menangani sesuatu insiden terutamanya melibatkan insiden kebakaran dan penyelamatan.

“Dalam isu ini, JBPM telah menunjukkan sikap professional semasa menjalankan tugas dan sentiasa bertoleransi serta bertimbang rasa dalam menangani sebarang isu atau masalah yang dihadapi,” katanya.

Tegasnya, menghalang atau menyerang anggota Bomba menjalankan tugas boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 51 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Mana-mana orang yang bersengaja mencaci, menyerang, mengacau, menghalang, menggalang, atau mengganggu mana-mana Pegawai Bomba, Pegawai Bomba Bantuan atau Pegawai Bomba Sukarela yang bertindak dalam melaksanakan tugasnya atau mana-mana orang lain yang membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah arahan tertentu Pegawai Bomba melakukan kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Justeru, JBPM berharap perkara sebegini tidak lagi berulang di masa-masa akan datang.

“Komuniti di luar sana juga dimohon untuk terus menyokong usaha JBPM dalam program-program pencegahan kebakaran dan juga aktiviti Bomba komuniti.

“Program yang dilaksanakan JBPM sangat bermanfaat terutamanya di dalam mencegah insiden kebakaran dan tindakan awal yang boleh diambil sekirannya berlaku kebakaran,” katanya. — DayakDaily