Tiada ‘road-block’ oleh IPD Kuching sepanjang Op Selamat TBC

Sekitar Pelancaran Op Selamat ke-17 IPD Kuching.

KUCHING, 28 Jan: Tiada sekatan jalan raya akan dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sepanjang Op Selamat Ke-17 sempena Tahun Baru Cina (TBC) ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pendekatan tersebut adalah untuk mengelak berlaku kesesakan, terutamanya di jalan-jalan utama di pusat bandaraya.

Selain itu, ia juga untuk membantu memudahkan masyarakat yang menyambut perayaan TBC meraikannya dalam suasana yang aman.


“Tiada ‘road block’ dibuat di tengah-tengah bandaraya ini kerana kita percaya ia akan menyusahkan masyarakat dan menjadikan bandaraya ini sesak.

“Kita ada pendekatan lain, dengan pasukan-pasukan yang kita ada dan semua penugasan adalah untuk membanteras dan mencegah jenayah dengan turut membantu masyarakat, khususnya yang meraikan TBC,” katanya dalam sidang media pelancaran Op Selamat peringkat IPD Kuching, hari ini.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar memaklumkan kepada polis sekiranya perlu meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama.

“Kita ada 25 kawasan panas yang antaranya ialah sekitar Satok, Tabuan serta Sekama dan disebabkan itu amatlah perlu untuk melaporkan kepada kita sekiranya perlu meninggalkan rumah atau premis perniagaan untuk tempoh yang lama.

“Melalui maklumat tersebut nanti akan memudahkan kita mengatur gerak kerja dengan lebih kerap melakukan rondaan di kawasan-kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau secara dalam talian.

Hadir sama dalam Majlis Pelancaran tersebut yang diadakan di Jalan Song, Kuching ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa dan ketua-ketua masyarakat.

Op Selamat Ke-17 sempena TBC itu dijalankan bermula hari ini sehingga 6 Februari kelak. — DayakDaily