Tiada masalah bekalan ayam dan telur — Abang Johari

Abang Johari ketika ditemui di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 7 Jun: Tiada masalah bekalan telur dan ayam di Sarawak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, masalah kekurangan bekalan mungkin dihadapi terhadap makanan import.

“Saya dimaklumkan bahawa kita tiada menghadapi masalah dari segi bekalan telur dan ayam.

Advertisement

“Malah, kita memiliki lebihan bekalan ayam,” katanya ketika ditemui di Perasmian Simposium Antarabangsa-Transformasi Industri Digital di Pusat Kecemerlangan Teknikel Sarawak (Centexs) di sini hari ini.

Justeru katanya, Sarawak mesti berusaha untuk menjadi pengeluar utama makanan di rantau ini.

Katanya, ia adalah jalan terbaik untuk memastikan keselamatan makanan di negeri ini terjamin.

“Pekebun kita harus menjadi pekebun korporat. Saya pernah menjadi menteri pertanian dahulu dan imejnya adalah cangkul, orang hidup susah, itulah imejnya.

“Bila imejnya demikian, siapa yang hendak menjadi pekebun,” katanya sambil berkata ia adalah persepsi.

Abang Johari yakin bila pekebun melakukannya secara komersil, ia akan menyelasaikan masalah ketidaktentuan keselamatan makanan.

“Kini kita import makanan, perang Rusia-Ukraine pun kita kena yang mengakibatkan kos kehidupan naik.

“Jika kita mengeluarkan makanan semua ini akan diselesaikan,” ujar Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement