Tiada lesen, bot tunda dan empat kru warga asing ditahan

Bot tersebut dibawa ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

Miri, 20 Feb: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), menahan sebuah bot tunda beserta empat anak kapal dalam Ops Permai awal pagi semalam kerana gagal mengemukakan dokumen kapal.

Menurut Pengarah Zon Maritim Miri, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng dalam satu kenyataan akhbar berkata, bot tunda tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 42 batu nautika dari barat laut muara Sungai Miri, sekitar jam 5 pagi semalam.

Advertisement

“Kapal Maritim (KM) Stapa yang sedang menjalankan rondaan Op Permai di sekitar perairan Miri telah mengesan sebuah bot tunda dalam keadaan berapung dan mencurigakan,” ujarnya.

Pemeriksaan mendapati bot tunda itu dikendalikan empat kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 29 tahun hingga 50 tahun.

Dua kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri, manakala dua kru lagi hanya mempunyai kad pelaut semasa diperiksa dan tekong juga telah gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan bot tunda itu.

Bot kemudiannya ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut.

Empat krew bot ditaha untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Kapal Saudagar 1952/60 kerana gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi mencegah pelangggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di Perairan Zon Maritim Malaysia amnya dan di perairan Zon Maritim Miri khasnya.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily

Advertisement