Tiada jaminan ambilan guru khas untuk anak Sarawak sahaja — Sagah

Sagah (duduk tengah) pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Sarawak (18 Nov 2024).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Nov: Masih tiada jaminan bahawa pengambilan guru khas hanya untuk anak Sarawak sahaja.

Namun jelas Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah, Sarawak telah memberi pandangan serta aspirasi berhubung isu tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Advertisement

“Saya tidak kata mereka (SSP) degil. Kita dah beri pandangan dan aspirasi dan kita harap mereka akur.

“Sudah tentu tidak semua 100 peratus, tapi ia memandangkan keadaan kekangan kita, bagaimana jenis guru kita perlu untuk pelajar Sarawak,” kata Sagah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai ucapan penggulungan kementerian di Kompleks Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.

Tambah Sagah, SSP bersetuju dan mendengar suara Sarawak.

“Justeru, saya harap semua berjalan lancar, kita belum tengok, belum tahu lagi.

“Saya ingat surat tawaran pun belum lagi,” jelasnya.

Pengambilan guru di bawah kaedah pelantikan secara kontrak perkhidmatan COS sepatutnya diperuntukkan untuk rakyat Sarawak sahaja, seperti yang dipersetujui sebelumnya.

Namun, kini ada dakwaan calon dari luar Sarawak juga dipanggil untuk temu duga.

Situasi ini menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Sarawak.

Ekoran itu, Sagah turut menzahirkan kekecewaan terhadap SPP kerana tidak menepati janji. — DayakDaily

Advertisement