Tiada hasrat membangkitkan isu perkauman dengan ungkapan ‘ulun’, kata Juanda

Juanda (duduk tengah) pada sidang media di DUN hari ini (Nov 12, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 12: ADUN Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata ungkapan ‘ulun’ yang digunakan beliau pada perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak bertujuan untuk menyakiti mana-mana kaum.

Pada satu sidang media di DUN hari ini, beliau berkata ungkapan tersebut juga tidak bertujuan untuk membangkitkan isu perkauman.


“Kita ambil maklum berhubung satu laporan polis yang dibuat terhadap saya berhubung ucapan saya di DUN beberapa hari lepas.

“Saya percaya pihak polis pun tahu tentang kedudukan ahli-ahli dewan dan bentuk ucapan yang dianggap sebagai membangkitkan isu perkauman.

“Kita tiada hasrat langsung untuk menyakiti atau menyentuh sensiviti mana-mana kaum dan saya sendiri dari kalangan kaum Bumiputera Sarawak,” katanya.

Beliau menjawab tentang laporan polis yang dibuat Ketua Belia Parti Tindakan Demokratik (DAP) cawangan Serian Brolin Nicholsion yang mendakwa ungkapan ‘ulun’ yang digunakanya merendahkan komuniti Dayak.

Menurut Brolin, ungkapan ‘ulun’ tersebut telah membangkitkan kemarahan di kalangan komuniti Dayak yang telah mengundi calon Pakatan Harapan (PH) untuk mewakili mereka pada pilihanraya lepas.

Sebaliknya, Juanda mendakwa Brolin sebenarnya yang telah menimbulkan isu perkauman melalui laporan polis yang dibuat.

Cara beliau membuat laporan, kata Juanda, seperti ‘orang ngelakar cerita buah limo, nya ngelakar hal boya’.

“Pembuat laporan ini mempunyai hasrat yang tak baik dan saya tidak mahu membuat laporan balas; kita tidak mahu bergaduh.

“Kandungan ucapan adalah untuk kemajuan Sarawak dan tiada bantahan dari speaker DUN, juga dari pihak pembangkang yang berada di dalam dewan,” ujar Juanda.

Tambah beliau lagi ungkapan ‘ulun’ terdahulu sering ditujukan kepada ahli-ahli dewan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, ahli-ahli GPS sentiasa tenang dengan ungkapan tersebut.

“Mengapa pula mereka berasa kecewa sekarang? Mungkin kerana mereka terikat dengan parti Malaya dan kita tidak lagi,” tegas Juanda. — DayakDaily