Tiada aktiviti jamuan di masjid, surau sepanjang Ramadan

Datuk Abdul Rahman Junaidi ketika melawat salah satu daripada enam projek dibawah kawal selia DBKU.

KUCHING, 8 April: Aktiviti jamuan berbuka puasa, moreh atau sahur adalah dilarang untuk dianjurkan di semua masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, larangan itu merupakan tambahan kepada prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS) baru-baru ini seabagai salah satu daripada usaha memerangi pandemik Covid-19.

“Sepanjang Ramadan ini kita menetapkan bahawa sebarang bentuk aktiviti jamuan seperti berbuka puasa, moreh atau sahur adalah tidak dibenarkan di masjid dan surau.


“Sekiranya jawatankuasa pengurusan masjid atau surau hendak menyediakan makanan sekalipun, ianya boleh dilakukan dengan menyediakan makanan secara dalam bungkusan,” katanya.

Datuk Abdul Rahman Junaidi diberikan taklimat mengenai pelan pengindahan perlancongan di Pengkalan Sapi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan.

Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, solat terawih dan witir masih dibenarkan dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Bagaimanapun bilangan jumlah jemaah terhad kepada maksimum 200 orang atau setengah daripada kapasiti masjid atau surau terlibat.

“Masjid dan surau ini akan mula dibuka dari jam 4 pagi dan ditutup sekitar jam 10.30 malam,” ujarnya.

Mengulas mengenai pembatalan baazar Ramadan di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Abdul Dahman berkata, pihaknya tiada halangan untuk peniaga menjual makanan di kawasan kediaman pada bulan tersebut.

Namun begitu ujar beliau, peniaga terlibat tetap perlu mematuhi SOP ditetapkan termasuk pengunaan pendaftaran MySejahtera, memeriksa suhu dan menyediakan cecair pencuci tangan.

“Kita tiada halangan bagi perkara itu dan anggota penguatkuasa DBKU akan melaksanakan pemantauan berkaitan bagi memastikan pematuhan SOP sentiasa dipatuhi dan keadaan persekitaran tempat berniaga terbabit sentiasa bersih.” katanya. — DayakDaily