DBKU laksana 6 projek pengindahan bandar di kawasan pentadbirannya

Abdul Rahman (kiri) meninjau kemajuan projek laluan penghubung dari Fort Magherita ke Jambatan Darul Hana.

KUCHING,8 April: Sebanyak enam projek pembangunan dilaksanakan dalam kawasan pentadbiran DBKU selari dengan proses urbanisasi bandaraya Kuching

Projek-projek tersebut melibatkan kerja-kerja pengindahan jalan protokol, Taman Botani Sarawak, laluan penghubung dari Fort Magherita ke Jambatan Darul Hana, projek naik taraf Taman Perpaduan, pembinaan outlet penyaliran di Jalan Masjid, Jalan Market, Lebuh Java menuju ke Sungai Sarawak dan naik taraf kemudahan pelancongan Pengkalan Sapi.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bagi projek pengindahan jalan protokol, ia melibatkan pembangunan landskap baharu merangkumi penanaman semula pokok rendah dan sederhana tinggi di sepanjang laluan tersebut.

“Pokok sedia ada di laluan ini terpaksa ditebang kerana sudah berusia lebih 40 tahun dan kita dapati pokok-pokok ini membahayakan pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut.

“Projek landskap ini yang melibatkan kos sekitar RM10 juta akan menambah keindahan kawasan pentadbiran DBKU terutama di Petra Jaya,” katanya ketika ditemui semasa melawat projek pembangunan di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini.

Kelihatan Abdul Rahman (dua dari kiri) ketika beliau meninjau projek pengindahan Jalan Protokol, Petra Jaya.

Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) berkata, Taman Botani Sarawak yang ditanam dengan lebih 40 spesis tumbuhan akan menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan pelancong untuk melakukan aktiviti riadah.

Jelasnya, selain memiliki pelbagai spesis tumbuhan taman itu juga dikelilingi struktur penting seperti Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Fort Magherita yang turut memberikan nilai tambah kepadanya.

“Golongan pelajar juga boleh menjadikan taman ini sebagai tempat terbaik untuk membuat kajian berkaitan kepelbagaian spesis tumbuhan terbabit, bersesuaian dengan pengajian mereka,” ujarnya.

Abdul Rahman (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai kemajuan projek pembinaan outlet penyaliran di Jalan Masjid, Jalan Market, Lebuh Java menuju ke Sungai Sarawak.

Menurut Abdul Rahman, projek pembinaan laluan penghubung dari Fort Magherita ke Jambatan Darul Hana turut dibangunkan bagi menambah keindahan di utara bandar raya Kuching.

Manakala, Taman Perpaduan atau lebih dikenali sebagai ‘Resevoir Park’ pula akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan bersesuaian dengan aktiviti riadah.

“Taman ini sememangnya menjadi tumpuan masyarakat sejak dahulu lagi untuk menlakukan aktiviti riadah seperti berbasikal, berjoging dan pelbagai aktiviti riadah lain bersama keluarga.

“Jadi projek ini antara lain bertujuan untuk menambahkan lanskap Taman Perpaduan itu disamping ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bagi memastikan penduduk yang melakukan aktiviti riadah di kawasan ini sentiasa selamat,” jelasnya.

Yang turut hadir semasa lawatan tersebut Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan. — DayakDaily