The Stage 3.0 kukuhkan Sibu sebagai hab budaya

Chieng (lima kanan) merasmikan The Stage 3.0 di Sibu. Foto: UKAS

KUCHING, 9 April: ‘The Stage 3.0’ di Sibu Rejang Esplanade meningkatkan profil Sibu sebagai hab budaya di rantau ini, kata Adun Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Chieng berkata, ia juga membuka peluang kepada perniagaan tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

“Ini sekali gus membantu merangsang aktiviti ekonomi di kawasan ini, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan keseluruhan ekonomi tempatan,” katanya dalam ucapan perasmian semalam.


Selain itu ujar Chieng, acara itu membantu memupuk semangat kemasyarakatan dan kesepaduan sosial dalam kalangan penduduk Sibu.

“Dengan menghimpunkan orang daripada latar belakang dan budaya yang berbeza, acara menggalakkan kepelbagaian dan persefahaman, serta membantu mewujudkan rasa identiti dan kekitaan bersama,” katanya.

Setelah kejayaan dua edisi sebelumnya, acara berkonsepkan hiburan ‘The Stage 3.0’ kembali menemui warga Sibu. — DayakDaily