10,000 pengunjung hadir Program Lan Berambeh Sungkei’ Perdana 2023 di Sibu

Dr Annuar (tujuh kanan) hadir ke Program ‘Lan Berambeh Sungkei’ Perdana 2023 di Dataran Sibu. Foto: UKAS

KUCHING, 9 April: Kira-kira 10,000 warga Sibu dari pelbagai lapisan hadir ke Program ‘Lan Berambeh Sungkei’ Perdana 2023 yang diadakan di Dataran Sibu pada Sabtu.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), program anjuran pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka itu sememangnya sangat dinanti-nanti oleh masyarakat setempat semasa bulan Ramadan.

Keadaan Dataran Tun Tuanku Bujang yang basah akibat hujan tidak menghalang orang ramai di Sibu untuk memeriahkan program.

Orang ramai yang datang untuk berbuka mengambil inisiatif membentang tikar getah dan kanvas di atas rumput dan laluan pejalan kaki bagi memudahkan mereka menikmati juadah berbuka puasa bersama keluarga dan rakan di dataran tersebut.

Ketika ditemui media, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, program yang bermula sejak 2017 itu masih diteruskan dan terus mendapat sambutan dari masyarakat pelbagai kaum di Sibu.

“Program ini telah dijalankan sejak tahun 2017 dan sehingga sekarang masih diteruskan.

“Pada awalnya saya agak risau kerana hujan turun sejak jam 2-3 petang, bagaimanapun orang tetap hadir setelah hujan berhenti pada petang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Annuar yang juga Adun Nangka itu turut mencadangkan kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) supaya menyediakan khemah atau kanopi pada tahun hadapan bagi memudahkan orang ramai berbuka puasa.

“Saya telah berbincang dengan Pengerusi MPS Clarence Ting, bahawa kita mungkin perlu memasang kanopi di sekeliling di dataran ini supaya tidak ada masalah risau dengan hujan.

“Kalau hari tidak hujan, mereka boleh berbuka puasa di tengah padang, jika hari hujan mereka boleh berteduh di bawah kanopi,” jelasnya. — DayakDaily

Orang ramai yang datang untuk berbuka mengambil inisiatif membentang tikar getah dan kanvas. Foto: UKAS