Polis serbu lokasi perjudian, kaki judi bertempiaran lari di Bau

Anggota operasi melakukan pemeriksaan di lokasi perjudian tersebut.

By Juetila Ozzy

BAU,18 Feb: Sekumpulan lelaki bertempiaran melarikan diri selepas kegiatan perjudian mereka terbongkar di Kampung Pisa Krokong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata bertindak kepada laporan yang diterima, anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah melakukan serbuan ‘Op Limau’ ke atas sebuah rumah di kampung tersebut sekitar jam 11.45 malam.


“Setiba di lokasi, didapati sekumpulan lelaki sedang berkumpul di belakang rumah tersebut dan disyaki sedang leka berjudi jenis ‘holo’.

“Menyedari kehadiran polis, mereka kemudian terus melarikan diri dan ada yang masuk ke dalam rumah bersembunyi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan berjaya menangkap lapan lelaki tempatan berusia lingkungan 42 hingga 62 tahun.

“Kesemua lapan lelaki terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Selain itu, beberapa peralatan perjudian termasuk kain dan buah dadu tertera gambar udang, ketam, harimau, labu, ayam dan ikan turut dirampas.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” kata Poge. -DayakDaily