Oleh Brad Rantayy
MIRI, Sept 10: Empat ‘kaki’ sabung ayam, termasuk seorang warga emas dicekup polis dalam satu serbuan petang semalam di satu kawasan berhampiran ladang kelapa sawit yang dijadikan lokasi sabung ayam di Batu 7, Lambir Jalan Miri-Bintulu.
Turut dirampas dua bangkai ayam jantan yang dipercayai mati dalam pertaruhan dan alatan timbang digunakan untuk aktiviti berkenaan, ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketik dihubungi hari ini.
Menurut Lim, serbuan jam kira-kira 4.30 petang itu susulan maklumat risikan dan hasil intipan di lokasi berkenaan yang dipercayai menjadi tumpuan kaki sabung ayam.
Kesemua suspek, berusia 19, 25, 30 dan 66 tahun itu merupakan warga tempatan.
Kata Lim, ketika serbuan yang diketuai Inspektor Mizlan Abdul Gani, kesemua suspek sedang leka melakukan aktiviti sabung ayam sehingga tidak menyedari kehadiran anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).
“Sejurus menyedari kehadiran anggota bertugas, kesemua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan,” kata Lim.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 memperuntukkan denda sebanyak RM1,000 atau tiga bulan penjara. — DayakDaily