Terpedaya dengan ‘Macau Scam’, peniaga rugi hampir RM58,000

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

SIBU, Okt 20: Seorang peniaga kedai peralatan elektrik di sini berputih mata apabila duit simpanannya berjumlah RM57,996.32 lesap ditipu sindiket ‘Macau Scam’.

Kejadian yang dilaporkan semalam itu melibatkan seorang lelaki berusia 36 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan menghubungi mangsa menggunakan  nombor 03-26228400 dan memperkenalkan diri dari Bahagian Kesihatan dari Kuala Lumpur.

Jelasnya, suspek kemudian memaklum kepada mangsa bahawa nama dia telah diguna oleh orang tidak dikenali bagi membeli ubat jenis ‘zolpidem stil mox’ dan meminta mangsa untuk menghubunginya talian 03-20311999 bagi membuat semakan lebih lanjut.

“Semasa dalam perbualan suspek mendapati nama mangsa kononnya terlibat dengan kes penggubahan wang haram.

“Suspek kemudian meminta mangsa untuk pergi bank bagi menyekat pengeluaran bank dengan memasukkan nombor 30000, 7067868285 dan 6375395018 di mesin
mesin teler automatik (ATM),” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, setelah mangsa memasukkan nombor tersebut di mesin ATM Maybank di Jalan Kampung Nyabor di sini, mangsa telah menerima resit pemindahan wang sebanyak RM27,9970.66 ke akaun Maybank suspek.

Seterusnya katanya, mangsa sekali lagi membuat transaksi menggunakan mesin ATM Public Bank di Jalan Tuanku Osman sini.

“Mangsa kemudian menekan nombor seperti yang diberikan oleh suspek dan telah berlaku pemindahan sebanyak RM29,998.66 ke akaun Maybank suspek. Selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Jumlah keseluruhan kerugian yang ditanggung mangsa adalah sebanyak RM57,996.32,” katanya. — DayakDaily