Kereta rempuh dinding rumah, seorang lelaki selamat

Keadaan di lokasi kemalangan selepas kereta rempuh dinding sebuah rumah.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Okt 20: Berpantang maut sebelum ajal.

Begitulah yang terjadi kepada seorang lelaki apabila dia terselamat selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sebiew, semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun hanya cedera ringan setelah kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh dinding sebuah rumah di bahu jalan berkenaan.

Menurut sumber, kejadian sama turut mengakibatkan kereta Toyota Altis yang dipandu mangsa melanggar sebuah kereta Toyota Corolla yang diparkirkan di luar kediaman berkenaan.

Katanya, rempuhan kuat itu juga telah menyebabkan kereta yang dipandu mangsa terbalik.

Pemandu hanya mengalami kecederaan ringan.

“Bagaimanapun, mangsa yang memandu seorang diri tidak mengalami sebarang kecederaan (serius). Penghuni rumah berkenaan juga tidak mengalami kecederaan kerana mereka tiada berada di situ semasa kejadian,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

Katanya, pihak polis sedang menyiasat punca kemalangan berkenaan. — DayakDaily