Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi terbakar

SINGAPURA – Ratusan orang telah dikeluarkan dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (LTAC) selepas berlaku kebakaran kecil di hub penerbangan tersebut kelmarin.

Kebakaran yang berlaku di balai berlepas Terminal 2 itu telah menyebabkan dua mangsa terpaksa dihantar ke hospital untuk pemerhatian lanjut, manakala empat lagi mangsa dihantar ke klinik di Terminal 3.

Adalah dilaporkan 40 penerbangan dari dan ke Singapura terpaksa di tunda akibat kebakaran tersebut, dengan pihak berkuasa tempatan menutup bahagian yang terlibat dengan segera atas sebab-sebab keselamatan.

Menurut kenyataan polis, alat penggera kebakaran telah dibunyikan pada 5.40PM waktu tempatan, dan api telah dipadamkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Dalam perkembangan sama, pihak pengurusan LTAC telah membuka semula Terminal 2 pada jam 10 petang selepas diberi lampu hijau oleh SCDF, dengan operasi dikembalikan kepada keadaan biasa secara berkala.

LTAC adalah lapangan terbang keenam tersibuk di dunia dimana ianya digunakan oleh lebih 100 penerbangan ke hampir 380 desinasi sedunia.