Terima kasih kerajaan Sarawak – Cuepacs

Pengurusi Cuepacs Sarawak Ahmad Malie

KUCHING, 13 Nov: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berterima kasih kepada kerajaan Sarawak yang memberi Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada kakitangan awam persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

Pengurusi Cuepacs Sarawak Ahmad Malie berkata, pemberian insentif khas tersebut merupakan satu berita gembira kepada penjawat awam persekutuan sekali gus menjadi tambahan kepada Bantuan Khas Kewangan RM600 yang di umumkan dalam Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, pemberian itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan Sarawak amat prihatin dan menghargai khidmat yang di berikan oleh semua penjawat awam di negeri tersebut.


“Pemberian Insentif khas ini merupakan pemberian bonus ataupun bantuan khas kali kedua untuk penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

“Jadi bagi Cuepacs Sarawak kita rasa amat bertuah kerana negeri Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang memberi insentif khas kepada penjawat persekutuan di negeri masing-masing,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, pemberian insentif itu akan memanfaatkan lebih 100 ribu penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan  di seluruh  Sarawak.

“Insentif khas ini pastinya memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam terlibat khususnya ketika berhadapan dengan situasi sekarang ini,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Bantuan Khas Kewangan tersebut pada sesi pengulungan bagi Bajet Sarawak 2021 pada persidangan DUN hari ini. — DayakDaily