This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 5 Jun: Kemalangan yang meragut lima nyawa di Kilometer 62 Jalan Sibu-Bintulu dipercayai berpunca daripada kenderaan jenis Kia Sportage yang dikatakan hilang kawalan lalu terbabas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Kia Sportage dan Perodua Myvi.
“Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Kia tersebut yang dikatakan bergerak lurus dari arah Selangau menuju ke Sibu telah hilang kawalan lalu terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan Perodua Myvi tersebut.
“Akibat pertembungan tersebut menyebabkan pemandu (Kia) dan dua penumpang serta dua lagi penumpang kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kematian mangsa-mangsa telah disahkan oleh pihak perubatan dari Klinik Selangau, Mukah.
“Sementara lima lagi mangsa termasuk dua dari Perodua Myvi mengalami cedera parah dan mereka telah dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Mukah, Inspektor Rahmat Jalimin di talian 011-31627137.
Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily